UPSI Terajui Laluan Pengajian APEL.Q untuk Penggiat Seni Tanah Air

UPSI terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pelaksanaan APEL.Q apabila seramai 17 penggiat seni profesional diterima masuk ke Program Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan. Kohort pertama ini terdiri daripada tokoh industri seperti Tomok, Datuk Hasniza Nordin, dan Amerul Affendi, yang kini bergelar mahasiswa sarjana melalui laluan berasaskan pengalaman kerja. Inisiatif ini membuka ruang inklusif bagi pengamal seni memperoleh pengiktirafan akademik formal atas sumbangan mereka dalam industri kreatif, selaras dengan komitmen UPSI memperkasa pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional dalam bidang seni.

Oleh: Dr. Nor Shuradi Nor Hashim

Tanjong Malim, 14 April 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu apabila seramai 17 calon profesional daripada pelbagai bidang seni telah diterima masuk ke Program Sarjana Pengajian Persembahan bermula pada 24 Mac 2025.

Melalui pelaksanaan pengajian APEL.Q, UPSI membuka peluang kepada pengamal seni berpengalaman luas untuk memperoleh pengiktirafan akademik yang setara dengan pencapaian mereka dalam industri kreatif.

Para pelajar terdiri daripada produser, pelakon, penyanyi, komposer, wartawan hiburan, jurutera audio, pengacara dan penggiat seni kreatif dari seluruh negara.

Dengan penawaran ke dalam Program Sarjana Pengajian Persembahan, kesemua calon ini kini secara rasminya bergelar warga mahasiswa akademik UPSI, melangkah ke alam pengajian tinggi berasaskan pengalaman profesional yang bakal diperakui.

Taklimat Pengajian APEL.Q Sarjana Pengajian Persembahan disampaikan oleh Penyelaras Dr Muhammad Faizal Ahmad, dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.
Taklimat Pengajian APEL.Q UPSI disampaikan bersama oleh Profesor Dr Raja Nor Safinas Raja Harun, Dekan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pelajar Pengajian APEL.Q Pengacara dan Karyawan Seni, Khairul Nizam Nazari bersama Juru Sistem Audio, Mohd Fhaliq Mohd Nor menunjukkan Kad Pelajar APEL UPSI

UPSI mengalu-alukan kedatangan 17 calon sebagai kohort pertama Program APEL.Q Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

Kesemua calon telah melaporkan diri secara rasmi pada 14 April 2025 (Isnin) jam 8.30 pagi bertempat di Bilik Smart Classroom, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Kehadiran mereka menandakan permulaan rasmi sesi pengajian bagi Semester 2, Sesi Akademik 2024/2025.

Majlis taklimat pelajar turut disampaikan bersama oleh Dekan Institut Pengajian Siswazah UPSI, Profesor Dr. Raja Nor Safinas binti Raja Harun, yang menegaskan komitmen UPSI dalam menyediakan laluan akademik yang inklusif dan responsif terhadap keperluan pengamal industri kreatif.

Kohort pertama Program APEL.Q Sarjana Pengajian Persembahan ini dihimpunkan daripada pelbagai latar belakang seni dan kreatif, merangkumi karyawan seni yang dikenali dalam industri.

Antara yang terlibat ialah Datuk Hasniza binti Nordin, seorang produser berpengaruh; Shah Indrawan bin Ismail (Tomok), penyanyi dan pelakon popular; Mohd Amerul Affendi bin Mohd Mawardi, pelakon filem dan teater; Tengku Ani Soraya binti Tengku Sulaiman, penyanyi; serta Zulkifli bin Ismail, pelakon prolifik pentas dan layar.

Turut bersama dalam kohort ini ialah Saiful Azmi bin Jamsari, wartawan TV3; Chow Hoong Ian; Mohd Rozaidy bin Shukry; Wan Fahrul Mirzad bin Wan Mustafa; Mohd Fhaliq bin Mohd Noor; Toh Shia Jade; Khairul Nizam bin Nazri; Kamaruzaman bin Husain; Nurul Izham bin Nurul Anuar; Saifulkhairi Ahmad; dan Wan Muzaffar Wan Mohd Hanafiah.

Kesemua calon telah melaporkan diri melalui proses pelarasan yang dikendalikan oleh Institut Pengajian Siswazah (IPS) UPSI, menandakan permulaan rasmi perjalanan akademik mereka di peringkat sarjana menerusi laluan APEL.Q.

Temuramah bersama Pelajar Sarjana Pengajian Persembahan APEL.Q UPSI, Shah Indrawan bin Ismail (Tomok), penyanyi dan pelakon popular.
Temuramah bersama Pelajar Sarjana Pengajian Persembahan APEL.Q UPSI, Zulkifli bin Ismail Pelakon Drama dan Filem Tanahair.
Temuramah bersama Encik Saifulkhairi Ahmad, Pegawai di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)

Maklum balas dan pengalaman calon-calon ini telah dikumpulkan melalui sesi temu ramah yang dikendalikan oleh Seksyen APEL.Q, Pusat Pembangunan Akademik UPSI.

Seksyen ini juga merupakan unit yang bertanggungjawab memantau keseluruhan proses pengajian APEL.Q, dengan kerjasama penasihat akademik dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, bagi memastikan pelaksanaan program berjalan secara kompeten serta mematuhi prosedur kualiti yang ditetapkan.

Khairul Nizam Nazari, seorang komposer dan pengacara berpengalaman, menyatakan bahawa penglibatannya secara aktif dalam penerbitan muzik serta program hiburan telah membentuk latar pengalaman industri yang luas.

Melalui pelaksanaan program APEL.Q yang dikendalikan oleh UPSI, pengalaman tersebut kini dapat disusun secara lebih terarah dan sistematik dalam kerangka pengajian tinggi.

Beliau menegaskan bahawa program ini bukan bertujuan untuk mengubah identiti profesionalnya, tetapi untuk mengiktiraf sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang seni secara formal, tidak formal dan bukan formal, sekali gus mengangkatnya ke tahap yang lebih dihormati menerusi pengiktirafan akademik.

Mohd Amerul Affendi bin Mohd Mawardi dan Tengku Ani Soraya binti Tengku Sulaiman, Pelajar Sarjana Pengajian APEL.Q UPSI
Temuramah bersama Pelajar Sarjana Pengajian Persembahan APEL.Q UPSI, Saiful Azmi Jamsari, Pengacara dan Wartawan TV3
Temuramah bersama Datuk Hasniza binti Nordin, Penerbit Drama dan Filem dari Saphire Screen Sdn. Bhd

Shah Indrawan bin Ismail (Tomok), seorang penyanyi dan pelakon, berkongsi bahawa beliau telah berkecimpung dalam industri muzik sejak usia remaja.

Melalui pengajian APEL.Q, beliau percaya dapat menyusun dan menganalisis semula pengalaman seninya dalam bentuk akademik.

Menurutnya, peluang ini memberi makna baharu kepada kerjayanya, dan membantunya melihat semula perjalanan seni secara reflektif melalui tugasan yang disusun secara sistematik.

Beliau turut menyeru rakan-rakan artis di luar sana agar merebut peluang menyambung pengajian melalui APEL.Q di UPSI, sebagai usaha memperkasa kerjaya seni mereka dengan sokongan akademik yang diiktiraf dan berstruktur.

Encik Zulkifli bin Ismail, seorang pelakon teater, televisyen dan filem, menegaskan bahawa pengalaman luas yang diperoleh dalam industri seni kini diberi pengiktirafan akademik melalui APEL.Q, tanpa keperluan untuk mengikuti pengajian konvensional dari peringkat asas.

Beliau menyarankan agar lebih ramai penggiat seni yang berkelayakan mempertimbangkan laluan ini, kerana masih ramai yang belum mengetahui tentang peluang yang ditawarkan melalui program APEL.Q di UPSI.

Encik Saifulkhairi Ahmad, pegawai di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), menyatakan bahawa ramai pengamal seni kaya dengan pengalaman, namun belum didokumentasikan secara akademik. APEL.Q membolehkan pengalaman itu diberi nilai formal.

Beliau turut menyatakan rasa syukur kerana berjaya memperoleh pembiayaan di bawah Dana Inisiatif APEL.Q oleh pihak INTAN, sekali gus membuktikan adanya sokongan kewangan daripada pihak Kerajaan Madani terhadap konsep pengajian sepanjang hayat yang mengiktiraf kemahiran dan pengalaman kerja sebagai laluan berwibawa menuju kelayakan akademik secara rasmi dan diiktiraf.

Mohd Amerul Affendi bin Mohd Mawardi, seorang pelakon filem dan teater berpengalaman, menyatakan bahawa beliau telah lebih dua dekad aktif dalam bidang lakonan.

Menurut beliau, pelaksanaan APEL.Q membuka ruang signifikan untuk mengangkat dan mengiktiraf pengalaman industri yang luas ke peringkat pengajian tinggi secara formal.

Beliau turut mengakui peranan besar yang dimainkan oleh UPSI dalam menyokong perjalanan akademiknya sejak peringkat awal, khususnya menerusi bimbingan yang diberikan oleh Tenaga Akademik, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan serta Seksyen APEL.Q, Pusat Pembangunan Akademik (PPA), yang memahami keperluan serta cabaran unik yang dihadapi oleh pengamal industri kreatif.

Barisan Tenaga Akademik dan Pelajar Sarjana Pengajian Persembahan Laluan APEL.Q, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tengku Ani Soraya binti Tengku Sulaiman, seorang penyanyi berpengalaman, menjelaskan bahawa penyertaannya dalam program APEL.Q memberi dimensi baharu kepada kerjaya seninya dengan membolehkan beliau menilai semula perjalanan profesional secara lebih terarah dalam kerangka akademik.

Menurutnya, program ini bukan sekadar mengiktiraf pengalaman sedia ada, tetapi turut mengiktiraf kemahiran vokal melalui pengajian APEL.Q secara sistematik.

Dengan pengiktirafan rasmi melalui APEL.Q yang dikendalikan oleh UPSI, beliau kini lebih yakin untuk terus menyumbang bukan sahaja dalam industri seni persembahan, tetapi juga dalam bidang pendidikan dan pembangunan seni secara profesional.

Saiful Azmi bin Jamsari, pengacara TV3 dan wartawan penyiaran, menyatakan bahawa beliau ingin melihat bagaimana pengalaman profesionalnya boleh disusun menjadi bentuk ilmu yang boleh dikembangkan.

Beliau menyifatkan APEL.Q sebagai platform terbaik untuk menterjemahkan pengalaman kerja ke dalam bentuk akademik. Menurutnya lagi, UPSI sangat memahami keperluan mereka yang datang dari lapangan kerja. Fleksibiliti dan bimbingan pensyarah menjadikan proses ini lebih lancar.

Datuk Hasniza binti Nordin, penerbit dari Saphire Screen Sdn. Bhd., menyatakan bahawa ramai tenaga seni yang hebat tidak sempat menyambung pengajian kerana sibuk membina kerjaya. A

PEL.Q membuka ruang yang adil dan inklusif buat mereka. Bagi beliau, ia bukan soal kelulusan semata-mata, tetapi merupakan proses refleksi yang menyusun semula makna kerjaya secara mendalam

Sebagai sebuah institusi yang diiktiraf sebagai pusat pelaksanaan APEL.Q, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memainkan peranan strategik dalam memastikan proses pengiktirafan pengalaman kerja calon dilaksanakan secara sistematik, berintegriti dan berpandukan piawaian kualiti yang ditetapkan. UPSI memastikan setiap calon diberikan laluan pengajian yang selari dengan latar belakang profesional mereka, melalui pendekatan yang bersifat fleksibel namun berstruktur.

Pemantauan berterusan, sokongan akademik yang berfokus serta kerjasama erat antara Seksyen APEL.Q di Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Fakulti dan PTJ  di UPSI menjadi teras kepada kejayaan pelaksanaan program ini. Komitmen ini membolehkan pelajar selaku karyawan seni tanah air bukan sahaja melengkapkan pengajian dengan jayanya.

Malahan turut diraikan secara rasmi di pentas konvokesyen UPSI kelak sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik yang dicapai hasil daripada pengalaman industri yang diiktiraf secara formal.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *