Taklimat APEL.Q UPSI Tingkatkan Kerjaya Warga JKKN

UPSI melalui Pusat Pembangunan Akademik (PPA) telah mengadakan Taklimat Program APEL.Q bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Kuala Lumpur. Program ini memberi pendedahan kepada pegawai dan kakitangan JKKN tentang laluan pengajian APEL.Q serta peluang pembiayaan pengajian di bawah Belanjawan 2025. Inisiatif ini membuka ruang kepada penjawat awam memanfaatkan pengalaman kerja untuk meningkatkan kelayakan akademik dan kemajuan kerjaya.

Oleh: Dr. Nor Shuradi Nor Hashim

Kuala Lumpur, 3 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Pembangunan Akademik (PPA) telah menganjurkan Taklimat Program APEL.Q (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan) khusus untuk pegawai dan kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Program ini diadakan pada 3 Mac 2025 di Ibu Pejabat JKKN, Kuala Lumpur, dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.

Taklimat yang disampaikan oleh Dr. Nor Shuradi Nor Hashim, penyelaras APEL dan Pengembangan Kurikulum PPA telah memberi pendedahan kepada peserta mengenai proses permohonan pengajian APEL.Q, pembelajaran APEL.Q, termasuk penyediaan portfolio, Lawatan Lapangan dan Pengesahan (FVV), Ujian Cabaran, dan Kursus Capstone di UPSI.

Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Encik Mohd Radzi Omar, memuji inisiatif pengajian APEL.Q sebagai langkah penting oleh Kerajaan dalam meningkatkan kelayakan akademik penjawat awam melalui pengiktirafan pengalaman kerja terdahulu.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Pegawai-Pegawai Malaysia (MyBudaya), Encik Rosnan Abd. Rahman yang mengikuti taklimat ini turut memuji usaha UPSI kerana membuka peluang kepada pegawai dan kakitangan JKKN untuk menambah nilai diri dan memajukan kerjaya dalam bidang seni dan budaya menerusi pengajian laluan APEL.Q.

Ketua Program Pengurusan Kualiti Institut Tadbiran Awam Negara, Mohd Kamarul Aznan Rashed ketika menyampaikan taklimat.

Dalam pada itu juga, pihak Pusat Pembangunan Akademik, UPSI turut menjemput Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) membentangkan inisiatif bantuan yuran pengajian di bawah Belanjawan 2025.

Taklimat dari pihak INTAN ini telah menegaskan pihak Kerajaan Madani menawarkan pembiayaan pengajian laluan APEL.Q pada setiap level pengajian Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana, Sarjana dan Kedoktoran sehingga 50% atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam sektor awam.

Program taklimat ini diharapkan dapat memberi manfaat yang besar kepada pegawai dan kakitangan JKKN dalam meneruskan pembelajaran APEL.Q di UPSI. Melalui pendedahan yang diberikan, calon Pegawai dan Kakitangan JKKN lebih bersedia untuk memanfaatkan pengalaman kerja mereka sebagai laluan alternatif dalam mendapatkan kelayakan akademik.

Inisiatif ini juga dijangka membantu meningkatkan tahap profesionalisme dan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran industri seni dan budaya yang sentiasa berkembang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *