UPSI melalui kerjasama antara AURORA dan Seksyen APEL, Pusat Pembangunan Akademik membuka peluang baharu kepada penggiat industri sukan dan rekreasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pendidikan (Sains Sukan) melalui laluan APEL.Q. Inisiatif ini diperkenalkan sempena Konferensi Malaysian Outdoor Recreation and Education Conference (MOREC) 2025, yang menghimpunkan lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara. Laluan ini membolehkan pengalaman kerja dalam bidang sukan dan rekreasi diiktiraf secara rasmi sebagai kelayakan akademik, sejajar dengan usaha UPSI memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional dalam industri.
Oleh: Dr. Nor Shuradi Nor Hashim
Tanjong Malim, 5 Mei 2025 – Kolaborasi strategik antara Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA) dan Seksyen APEL, Pusat Pembangunan Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), membuka ruang baharu buat penggiat industri sukan rekreasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Sarjana Pendidikan (Sains Sukan).
Laluan ini disediakan melalui mekanisme Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL.Q).
Melalui laluan ini, individu yang berpengalaman luas dalam bidang sukan dan rekreasi meskipun tanpa kelayakan akademik konvensional bakal diberi peluang menilai pengalaman kerja mereka secara rasmi untuk layak ke program akademik.
Antara yang layak termasuk jurulatih aktiviti luar, fasilitator rekreasi, pendidik lapangan, dan pemimpin pembangunan komuniti aktif dalam arena sukan.
Konferensi Malaysian Outdoor Recreation and Education Conference (MOREC) 2025 ini telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai pemain industri sukan dan rekreasi dari dalam dan luar negara.
Antara yang terlibat termasuk wakil dari Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei, melibatkan organisasi seperti Outbound Brunei, Outward Bound Singapore, Nomad Adventure, Wellderness Malaysia, serta institusi pendidikan seperti UiTM Arau.
Turut serta ialah para pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, yang mengambil peluang ini untuk berinteraksi dan menimba pengalaman langsung daripada pengamal industri serantau.
Kemuncak inisiatif dalam Konferensi MOREC 2025 yang berlangsung pada 28 hingga 29 April 2025 di UPSI Adventure Park Campsite telah menyaksikan pengenalan program Sarjana Pendidikan (Sains Sukan) kepada semua peserta. Program ini ditawarkan melalui mekanisme Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL.Q).
Konferensi ini turut menghimpunkan tokoh-tokoh berpengaruh dalam bidang pendidikan luar, baik dari dalam mahupun luar negara, termasuk Dr. Simon Priest, Dato’ Dr. Amar-Singh HSS, dan Mr. Lye Yen Kai.
Salah satu sesi utama telah memberi pendedahan komprehensif mengenai laluan APEL.Q, yang merangkumi penyediaan portfolio pengalaman, penilaian lapangan (Field and Validation Visit), ujian cabaran, serta kursus capstone.
Pendekatan ini membolehkan calon menyusun dan membuktikan kemahiran serta pengetahuan sedia ada secara sistematik bagi membolehkan ia diiktiraf sebagai setara dengan kelayakan akademik peringkat sarjana.
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, PM Dr. Mazuki Mohd Yasim, “Inisiatif ini amat signifikan dalam membuka ruang akademik kepada pemain industri yang selama ini banyak menyumbang kepada pembangunan sukan dan rekreasi negara. Laluan APEL.Q membolehkan pengalaman praktikal yang diperoleh di lapangan dinilai secara sistematik dan diiktiraf sebagai setara dengan keperluan akademik program sarjana yang ditawarkan oleh universiti.”
Turut menyatakan sokongan, Encik Ahmad Ariff Audi Mohamad, Pegawai Tadbir N9 di Pusat Kokurikulum, berkata: “Kami melihat sendiri bagaimana para fasilitator luar dan aktivis sukan rekreasi memiliki kecekapan luar biasa yang diperoleh melalui pengalaman kerja lapangan. Melalui APEL.Q, mereka kini tidak lagi terpinggir dalam dunia akademik dan diberi peluang untuk setanding dengan graduan formal.”
“Sebagai pengamal industri lebih dua dekad, saya percaya pengajian APEL.Q membuka peluang realistik untuk kami menstrukturkan pengalaman ke arah pengiktirafan akademik.
“Saya amat berminat menyertai program Sarjana Pendidikan (Sains Sukan) di UPSI melalui laluan ini,” Ujar Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan Aset Latihan) di Outward-Bound Singapore (OBS), Encik Noor Hisham Mohd Ranny.
Kisah kejayaan awal turut dirintis oleh Encik Rada Krishnan Nadesan, yang kini sedang mengikuti program kajian rintis Pengajian Sarjana Pendidikan (Sains Sukan) laluan APEL.Q di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI. Beliau membuktikan bahawa pengalaman praktikal di lapangan jika disusun dengan baik, mampu menjadi batu loncatan kepada pencapaian akademik formal.
Langkah ini membuktikan UPSI bukan sahaja mendepani inovasi pendidikan, tetapi juga memimpin agenda pembelajaran sepanjang hayat sejajar dengan keperluan industri.
AURORA, sebagai pemacu kepimpinan rekreasi luar, bersama Seksyen APEL.Q, Pusat Pembangunan Akademik menjadi penghubung yang kukuh antara dunia praktikal dan akademik.


